Tuesday, July 8, 2008

Forrest Gump

Saya menonton filem yang diarahkan oleh Robert Zemeckis ini buat kali yang ke 15 pada hujung minggu yang lalu. Filem ini seolah-olah begitu hidup dan manusia Forrest ini juga seakan-akan wujud di dunia nyata ini.

Forrest (Tom Hanks) adalah seorang budak lelaki yang lembam dan mempunyai kecacatan di kedua-dua belah kakinya. Namun di atas kegigihan usaha ibunya, Forrest akhirnya diterima belajar di sekolah yang sama dengan murid-murid yang normal. Di sini, dia berkenalan dengan Jenny (Robin Wright Penn), seorang budak perempuan yang akhirnya menjadi sahabat karibnya yang pertama.

Hubungan mereka kemudiannya menjadi renggang apabila tiba zaman persekolahan menengah. Jenny meneruskan pengajiannya di sekolah yang hanya menempatkan pelajar-pelajar perempuan. Forrest pula menceburi sukan American Football kerana keupayaanya berlari dengan pantas.

Taman zaman persekolahan, Forrest menjadi seorang askar manakala Jenny menjadi seorang penyanyi erotik. Di kem tentera, Forrest berkenalan dengan seorang lelaki Negro bernama Bubba (Mykelti Williamson) yang kemudiannnya menjadi sahabat karibnya yang kedua selepas Jenny.

Semasa perperangan di antara Amerika dan Vietnam, Forrest mengenali pula sahabat karibnya yang ketiga iaitu Leftenan Dan (Gary Sinise). Leftenan Dan ini bolehlah dilihat sebagai pengganti Bubba kerana Bubba akhirnya terkorban dalam perperangan itu.

Taman perang, Forrest menjadi seorang nelayan (pengail udang) bersama-sama Leftenan Dan. Berita tentang ibunya yang sedang sakit tenat menyebabkan Forrest pulang ke kampung halaman dan meninggalkan kapalnya yang bernama Jenny kepada Leftenan Dan di tengah laut.

Setelah ibunya meninggal dunia, Forrest kemudiannya menjadi cukup terkenal dengan lariannya mengelilingi seluruh Amerika. Tontonlah sendiri filem ini untuk mengetahui kesudahannya di mana Jenny hadir semula dalam hidup Forrest setelah lama hilang dan Leftenan Dan yang selama ini berperang akhirnya berdamai semula dengan Tuhan.

1 comment:

Jetz.Jr said...

san, ngantuk la baca hahahahaha