Wednesday, August 20, 2008

Surat Terbuka Untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim

Assalamualaikum Datuk Seri,


Saya adalah seorang remaja berusia 27 tahun yang pernah menjadikan Dato' Seri sebagai idola saya. Ketika di bangku sekolah, ketika Dato' Seri menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, saya selalu membaca rencana-rencana tentang Dato' Seri.

Setelah membaca sejarah perjuangan politik Dato' Seri, saya amat kecewa kerana Dato' seri memilih untuk bersama UMNO sedangkan PAS sudi memberi ruang yang begitu luas untuk Dato' Seri berjuang, tambahan pula mungkin Dato' Seri dapat bekerjasama dengan timbalan Dato' Seri di dalam ABIM dulu iaitu Allahyarham Ustaz Fadhil Noor sekiranya Dato' Seri bersama PAS.

Untungnya saya masih rasional, saya percaya dengan alasan Dato' Seri yang memilih UMNO untuk memperjuangkan Islam dari dalam kerajaan sendiri.

Ketika Dato' Seri disingkirkan dari UMNO dan kerajaan lewat tahun 1998, saya tidak percaya sama sekali dengan tuduhan liwat terhadap Dato' Seri. Bahkan saya amat mengkagumi kepetahan peguam bela Dato' Seri iaitu Allahyarham Aris Rizal Christopher Fernando dalam berhujah. Walaupun Dato' Seri kalah dalam bicara ketika itu, namun Dato' Seri masih menang di hati saya.

Tetapi sekali lagi Dato' Seri mengecewakan saya dengan tidak memilih untuk menyertai PAS sedangkan PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadhil Noor ketika itu terang-terang memilih untuk membangun bersama Islam. Tetapi saya masih lagi rasional, saya beranggapan bahawa Dato' Seri menubuhkan Parti Keadilan untuk menjadikan Parti Keadilan sebagai satu jambatan untuk menghubungkan PAS dan DAP - dua parti yang sering bercakaran lantaran perbezaan falsafah politik masing-masing selama ini.

Dalam tahun 2008 ini, di sebalik rasa gembira saya kerana kejayaan Pakatan Rakyat menguasai 5 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan, serta menidakkan majoriti 2/3 UMNO di Parlimen, hati saya tiba-tiba diserang keraguan ekoran tuduhan liwat Saiful Bukhari Azlan terhadap Dato' Seri. Namun sekali lagi saya masih rasional, saya percaya bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.

Tetapi Dato' Seri, buat kali pertama dalam hidup saya, saya merasa kecewa yang begitu sempurna terhadap Dato' Seri apabila baru-baru ini Dato' Seri menolak untuk bersumpah dengan nama Allah dalam membela diri di atas tuduhan liwat terhadap Dato' Seri. Dan saya jadi kagum dan hormat terhadap kesungguhan Saiful Bukhari Azlan dalam mempertahankan tuduhannya apabila beliau bersumpah dengan nama Allah dan sanggup pula menghadapi bala sekiranya beliau berdusta. Bukan setakat itu sahaja Dato' Seri, bahkan Saiful Bukhari Azlan merelakan keturunanya juga ditimpa bala sekiranya dia berdusta.

Saya percaya bahawa keberanian itu datangnya dari kebenaran. Tambahan pula, seseorang Islam itu, walaupun ramai diantara jutaan umat Islam yang menjadi pemabuk, penjudi, penzina, pembunuh atau apa sahaja sekalipun, amat pantang bagi pemabuk, penjudi, penzina dan pembunuh itu untuk mempermain-mainkan nama Allah. Dan Dato' Seri juga haruslah bersumpah untuk membela diri walaupun dengan bersumpah sebegitu Dato' Seri tetap akan dibicarakan di mahkamah. Ini kerana bagi saya Dato' Seri, seseorang itu bukan sahaja harus bersih, tetapi juga harus di pandang sebagai bersih.

Akhir kata dari saya Dato' Seri, sekiranya Dato' Seri tidak bersumpah sebelum pilihanraya kecil di Permatang Pauh nanti, saya berharap bahawa Dato' Seri akan mengalami kekalahan yang besar dan karier politik Dato' Seri berakhir buat selama-lamanya. Hal-hal yang lain, termasuklah kesahihan tuduhan liwat tersebut dan hukuman apa yang wajar dijatuhkan sekiranya Dato' Seri didapati bersalah, biarlah mahkamah sahaja yang menguruskannya.

Ini adalah harapan saya terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah saya sanjungi. Saya tiada bukti untuk menyatakan bahawa saya pernah menyanjung Dato' Seri kerana satu-satunya bukti yang saya ada iaitu sehelai t-shirt berwarna hitam dengan gambar mata Dato' Seri yang kelebaman yang sering saya pakai telah saya hadiahkan kepada senior saya di UiTM lama dahulu.

Saya sudahi warkah ini dengan serangkap pantun yang pernah dilafazkan oleh Dato' Seri ketika Perhimpunan Agung Umno dalam tahun 1998 dahulu;


Akar Nibung Meresap
Akar Mati Dalam Perahu
Terbakar Kampung Kelihatan Asap
Terbakar Hati Siapa Yang Tahu

Wednesday, July 9, 2008

Steve Mcmanaman - Lagenda Yang Masih Hidup

Pada zaman remajanya, Steve Mcmanaman pernah dihadiahkan sepasang kasut bola oleh Kevin Keegan - lagenda bola sepak Liverpool. Mcmanaman menerima kasut itu dengan rasa gembira meskipun saiz kasut itu sebenarnya lebih besar dari saiz kakinya sendiri.

Ketika Liverpool mula-mula dibimbing oleh Roy Evans, Steve Mcmanaman menyarung jersi bernombor '17'. Tetapi selang beberapa tahun selepas itu, kerana keupayaannya mengetuai barisan tengah, dia diberikan jersi bernombor '7', nombor yang pernah dipakai oleh Kenny Dalglish dan Kevin Keegan.

Di Liga Perdana England, Mcmanaman dianggap sebagai 'pemain utiliti' kerana kemampuannya bermain di pelbagai posisi. Dia boleh bermain sebagai perancang tengah, pemain sayap kanan dan sayap kiri, ataupun beraksi di belakang penyerang tunggal.

Di Liverpool, Roy Evans biasanya memberi 'free role' kepada Mcmanaman, yang bererti dia bebas berada di mana-mana bahagian padang dan tidak terikat pada mana-mana posisi. Namun, nama Mcmanaman sebenarnya mula melonjak ketika dia mewakili England dalam kejohanan Euro 1996. Terry Venables meletakkan Darren Enderton di bahagian sayap kanan sementara Steve Mcmanaman pula di bahagian sayap kiri. Paul Ince beraksi sebagai 'holding midfielder' manakala Paul Gascoine pula menjadi perancang utama. Barisan tengah England dikatakan barisan tengah terbaik di kejohanan itu meskipun England tewas kepada German di separuh akhir melalui penentuan sepakan penalti.

Penyerahan jawatan pengurus dari Roy Evans kepada Gerrard Houllier di Liverpool mungkin menjadi punca perpindahan Steve Mcmanaman ke Real Madrid. Steve Mcmanaman kemudiannya menjulang 2 Piala Eropah bersama Real Madrid dan turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir ketika Real Madrid bertemu Valencia. Namun kelibatnya di dalam kesebelasan utama skuad England sudah jarang kelihatan kerana Glenn Hoddle yang menggantikan Terry Venables sebagai pengurus lebih selesa meletakkan Greame Le Saux di posisi sayap kiri berbanding Mcmanaman.

Beberapa tahun selepas kali pertama Mcmanaman menyarung jersi Real Madrid, Mcmanaman kembali semula ke England untuk beraksi bersama Manchester City. Namun kariernya berakhir di sana dengan tiada satu jaringan pun berjaya dihasilkan olehnya. Prestasi buruknya dipercayai berpunca dari kecederaan lutut dan buku lalinya yang kerap berulang.

Steve Mcmanaman sebenarnya adalah lagenda yang masih hidup dengan caranya yang tersendiri. Dan di Liverpool, walaupun Vladimir Smicer mahupun Harry Kewell menyarung jersi no '7', namun mereka sama sekali tidak dapat menyaingi kelincahan Steve Mcmanaman.

Saya menutup artikel ini dengan memetik kata-kata seseorang dari Kem Manchester United - Jika anda dapat menyekat Mcmanaman, anda dapat menyekat Liverpool!

Fenomena

Amat sukar untuk mencari filem-filem yang berkualiti pada dekad 90an. Namun Fenomena berjaya lari dari kebiasaan filem melayu yang 'tipikal', sekaligus menjadikannya filem pertama dan filem terbaik yang pernah dihasilkan oleh Aziz M Osman.

Isabella (Ramona Rahman), seorang gadis British pulang ke Terengganu untuk berjumpa dengan seorang tukang kebun yang pernah merawat penyakit misterinya waktu kecil dahulu. Pak Labib (Abu Bakar Omar) kemudiannya menerima kehadiran Isabella dengan hati terbuka lantaran Isabella sebenarnya adalah anak perempuan kepada majikannya dahulu.

Di Terengganu, Isabella berkenalan dengan seorang pemuda bernama Azlan (M Nasir) yang baru sahaja kematian isteri. Azlan adalah seorang pemuda berijazah yang putus asa dalam hidupnya lantaran tidak mempunyai kerja tetap dan terpaksa menyara anak perempuan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Bekerjasama dengan Suhaimi (Amy Search), Isabella menganjurkan konsert amal Search di Terengganu bertujuan untuk mengutip derma bagi membiayai pembedahan anak perempuan Azlan di London. Azlan yang terharu dengan sikap ambil berat Isabella kemudiannya mencipta sebuah lagu untuk konsert Search malam itu. Lagu itu bertajuk - Isabella.

Saya cuba berlaku adil dalam menilai filem ini. Meskipun filem ini penuh dengan mesej yang positif, saya kira tidak perlulah perpecahan di kalangan penganut Agama Islam didedahkan dalam filem ini. Ini kerana filem ini bukan sahaja ditonton oleh orang Islam, tetapi juga ditonton sama oleh pengamal agama lain.

Apapun, selain lagu 'Gadis Misteri' yang amat menyamankan halwa telinga, saya cukup tertarik dengan kata-kata azimat yang diucapkan oleh Isabella kepada Azlan. Moga kata-kata itu dapat difahami oleh kita dan semangatnya diserap dalam kehidupan seharian.

"Jangan kecewa dengan masalah yang menimpa hari ini, kerana mungkin Tuhan telah mencipta esok yang bahagia untuk kita, sebagai hadiah di atas ketabahan kita menghadapi masalah hari ini."

Tuesday, July 8, 2008

Fight Back To School

Filem ini membawa kita menyorot alam persekolahan dan pastinya akan meninggalkan kesan kepada penonton-penontonnya, terutamanya kepada mereka-mereka yang belajar di sekolah menengah lelaki seperti saya.

Chow Sing Sing (Stephen Chow) ialah seorang anggota polis yang telah diarahkan oleh ketuanya untuk menyamar sebagai pelajar di sebuah sekolah menengah lelaki. Chow Sing Sing perlu menyiasat tentang kehilangan sepucuk pistol milik ketuanya yang dipercayai hilang sewaktu
lawatan pelajar-pelajar dari sekolah lelaki itu ke balai polis tersebut.

Di dalam penyiasatannya, Chow Sing Sing dibantu oleh seorang lagi anggota polis iaitu Uncle Tat (Man Tat Ng). Mulanya Uncle Tat hanya menyamar sebagai seorang tukang sapu di sekolah tersebut, tetapi kemudiannya Uncle Tat terpaksa pula menyamar sebagai bapa kepada Chow Sing Sing, ekoran pengetua hendak berjumpa dengan bapa Chow Sing Sing kerana masalah yang ditimbulkannya di sekolah tersebut.

Oleh sebab kelemahan Chow Sing Sing di dalam pelajaran, Chow Sing Sing diwajibkan menghadiri kelas tambahan yang dibimbing oleh Miss Ho (Sharla Cheung). Hubungan rapat diantara Miss Ho dan Chow Sing Sing akhirnya membuka jalan kepada misteri kehilangan pistol milik Ketua Polis apabila Chow Sing Sing mendapati bahawa teman lelaki Miss Ho mempunyai kaitan dengan sebuah kongsi gelap.

Akhir kata, filem arahan Gordon Chan ini nyata menghiburkan, dan beratus-ratus kali lebih baik dari siri-siri Gerak Khas The Movie!

Dil Se

'Dil Se' dalam Bahasa Melayu bermaksud 'Dari Hati' dan tidak dapat disangkal lagi bahawa buah tangan Mani Ratnam ini sangat-sangat menusuk hati.

Megna (Manisha Korlaila) adalah seorang pejuang yang ingin memerdekakan wilayah kelahirannya. Dengan lain perkataan, Megna ingin mengeluarkan wilayahnya dari Negara India dan seterusnya membentuk pemerintahan sendiri.

Dalam perjuangannya, Megna bertemu Amar (Shah Rukh Khan) yang merupakan seorang juruhebah yang bertugas di All India Radio. Amar yang bertugas membuat liputan tentang perjuangan kebebasan ini jatuh cinta pada Megna, tetapi Megna menghilangkan diri secara tiba-tiba, tanpa dapat dikesan oleh Amar.

Amar kemudiannya memutuskan untuk berkahwin dengan Pretty (Pretty Zinta), gadis yang diperkenalkan oleh keluarga kepadanya. Pretty adalah seorang gadis suci tradisional India, tetapi masih berfikiran terbuka.

Ketika hari pertunangan Amar dan Pretty, Megna tiba-tiba muncul. Megna kemudiannya mempergunakan Amar untuk mendapat kerja di All India Radio, sekaligus melancarkan strategi perjuangannya dari situ.

Cerita ini cukup hebat, tapi saya amat kecewa dengan kesudahannya. Saya berasa hairan dengan sikap Amar yang memilih untuk setia bersama Megna, sedangkan kad undangan perkahwinannya bersama Pretty sudah diedarkan.

Amar sepatutnya memilih untuk berkahwin dengan Pretty, dan membiarkan Megna mati 'shahid' bersama pihak polis dalam perjuangannya!

Gila-Gila Remaja

Saya kira filem ini cukup berbeza dengan filem-filem melayu yang lain. Filem yang disutradakan oleh Allahyarham Hussein Abu Hassan ini masih lagi relevan untuk ditonton oleh remaja di penghujung 2000 ini, terutamanya untuk mereka yang bercita-cita menjadi 'mat rempit'.

'Mat rempit' yang dijuarakan dalam filem ini adalah 'mat rempit' yang 'clean', yang bebas dari unsur-unsur dadah. Begitupun, 'mat-mat rempit' yang 'clean' ini masih lagi tidak dapat lari dari budaya 'geng fight' apabila Azroy (Faizal Hussein) dan rakan-rakannya bergaduh dengan Farouk (Kamarool Yusoof) dan Kumpulan Gagak Hitam hanya kerana seorang perempuan bernama Suziana (Rehana Yasin).

Pergaduhan yang terlerai dengan kehadiran polis itu tidak hanya berakhir disitu, Farouk kemudiannya merogol adik perempuan Remy (Rosham Noor) dan seterusnya mendorong ke arah pergaduhan yang lebih besar. Remy akhirnya ditahan polis dan dihantar ke Sekolah Henry Gurney sementara hubungan percintaan Roy dan Suziana berakhir gara-gara fitnah yang direkacipta oleh Farouk.

Nilai murni yang paling tinggi yang dapat dilihat pada Roy ialah ketika dia mengumpul rakan-rakannya dan meminta mereka menyumbang darah untuk didermakan pada ayah Suziana yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Roy akhirnya berjaya lulus dengan cemerlang di dalam perperiksaan walaupun dia adalah seorang 'mat rempit' yang asyik berlumba, bermain snooker dan menari 'breakdance'.

Forrest Gump

Saya menonton filem yang diarahkan oleh Robert Zemeckis ini buat kali yang ke 15 pada hujung minggu yang lalu. Filem ini seolah-olah begitu hidup dan manusia Forrest ini juga seakan-akan wujud di dunia nyata ini.

Forrest (Tom Hanks) adalah seorang budak lelaki yang lembam dan mempunyai kecacatan di kedua-dua belah kakinya. Namun di atas kegigihan usaha ibunya, Forrest akhirnya diterima belajar di sekolah yang sama dengan murid-murid yang normal. Di sini, dia berkenalan dengan Jenny (Robin Wright Penn), seorang budak perempuan yang akhirnya menjadi sahabat karibnya yang pertama.

Hubungan mereka kemudiannya menjadi renggang apabila tiba zaman persekolahan menengah. Jenny meneruskan pengajiannya di sekolah yang hanya menempatkan pelajar-pelajar perempuan. Forrest pula menceburi sukan American Football kerana keupayaanya berlari dengan pantas.

Taman zaman persekolahan, Forrest menjadi seorang askar manakala Jenny menjadi seorang penyanyi erotik. Di kem tentera, Forrest berkenalan dengan seorang lelaki Negro bernama Bubba (Mykelti Williamson) yang kemudiannnya menjadi sahabat karibnya yang kedua selepas Jenny.

Semasa perperangan di antara Amerika dan Vietnam, Forrest mengenali pula sahabat karibnya yang ketiga iaitu Leftenan Dan (Gary Sinise). Leftenan Dan ini bolehlah dilihat sebagai pengganti Bubba kerana Bubba akhirnya terkorban dalam perperangan itu.

Taman perang, Forrest menjadi seorang nelayan (pengail udang) bersama-sama Leftenan Dan. Berita tentang ibunya yang sedang sakit tenat menyebabkan Forrest pulang ke kampung halaman dan meninggalkan kapalnya yang bernama Jenny kepada Leftenan Dan di tengah laut.

Setelah ibunya meninggal dunia, Forrest kemudiannya menjadi cukup terkenal dengan lariannya mengelilingi seluruh Amerika. Tontonlah sendiri filem ini untuk mengetahui kesudahannya di mana Jenny hadir semula dalam hidup Forrest setelah lama hilang dan Leftenan Dan yang selama ini berperang akhirnya berdamai semula dengan Tuhan.