Amat sukar untuk mencari filem-filem yang berkualiti pada dekad 90an. Namun Fenomena berjaya lari dari kebiasaan filem melayu yang 'tipikal', sekaligus menjadikannya filem pertama dan filem terbaik yang pernah dihasilkan oleh Aziz M Osman.
Isabella (Ramona Rahman), seorang gadis British pulang ke Terengganu untuk berjumpa dengan seorang tukang kebun yang pernah merawat penyakit misterinya waktu kecil dahulu. Pak Labib (Abu Bakar Omar) kemudiannya menerima kehadiran Isabella dengan hati terbuka lantaran Isabella sebenarnya adalah anak perempuan kepada majikannya dahulu.
Di Terengganu, Isabella berkenalan dengan seorang pemuda bernama Azlan (M Nasir) yang baru sahaja kematian isteri. Azlan adalah seorang pemuda berijazah yang putus asa dalam hidupnya lantaran tidak mempunyai kerja tetap dan terpaksa menyara anak perempuan yang menghidap penyakit jantung berlubang.
Bekerjasama dengan Suhaimi (Amy Search), Isabella menganjurkan konsert amal Search di Terengganu bertujuan untuk mengutip derma bagi membiayai pembedahan anak perempuan Azlan di London. Azlan yang terharu dengan sikap ambil berat Isabella kemudiannya mencipta sebuah lagu untuk konsert Search malam itu. Lagu itu bertajuk - Isabella.
Saya cuba berlaku adil dalam menilai filem ini. Meskipun filem ini penuh dengan mesej yang positif, saya kira tidak perlulah perpecahan di kalangan penganut Agama Islam didedahkan dalam filem ini. Ini kerana filem ini bukan sahaja ditonton oleh orang Islam, tetapi juga ditonton sama oleh pengamal agama lain.
Apapun, selain lagu 'Gadis Misteri' yang amat menyamankan halwa telinga, saya cukup tertarik dengan kata-kata azimat yang diucapkan oleh Isabella kepada Azlan. Moga kata-kata itu dapat difahami oleh kita dan semangatnya diserap dalam kehidupan seharian.
"Jangan kecewa dengan masalah yang menimpa hari ini, kerana mungkin Tuhan telah mencipta esok yang bahagia untuk kita, sebagai hadiah di atas ketabahan kita menghadapi masalah hari ini."
Wednesday, July 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment