Wednesday, August 20, 2008

Surat Terbuka Untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim

Assalamualaikum Datuk Seri,


Saya adalah seorang remaja berusia 27 tahun yang pernah menjadikan Dato' Seri sebagai idola saya. Ketika di bangku sekolah, ketika Dato' Seri menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, saya selalu membaca rencana-rencana tentang Dato' Seri.

Setelah membaca sejarah perjuangan politik Dato' Seri, saya amat kecewa kerana Dato' seri memilih untuk bersama UMNO sedangkan PAS sudi memberi ruang yang begitu luas untuk Dato' Seri berjuang, tambahan pula mungkin Dato' Seri dapat bekerjasama dengan timbalan Dato' Seri di dalam ABIM dulu iaitu Allahyarham Ustaz Fadhil Noor sekiranya Dato' Seri bersama PAS.

Untungnya saya masih rasional, saya percaya dengan alasan Dato' Seri yang memilih UMNO untuk memperjuangkan Islam dari dalam kerajaan sendiri.

Ketika Dato' Seri disingkirkan dari UMNO dan kerajaan lewat tahun 1998, saya tidak percaya sama sekali dengan tuduhan liwat terhadap Dato' Seri. Bahkan saya amat mengkagumi kepetahan peguam bela Dato' Seri iaitu Allahyarham Aris Rizal Christopher Fernando dalam berhujah. Walaupun Dato' Seri kalah dalam bicara ketika itu, namun Dato' Seri masih menang di hati saya.

Tetapi sekali lagi Dato' Seri mengecewakan saya dengan tidak memilih untuk menyertai PAS sedangkan PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadhil Noor ketika itu terang-terang memilih untuk membangun bersama Islam. Tetapi saya masih lagi rasional, saya beranggapan bahawa Dato' Seri menubuhkan Parti Keadilan untuk menjadikan Parti Keadilan sebagai satu jambatan untuk menghubungkan PAS dan DAP - dua parti yang sering bercakaran lantaran perbezaan falsafah politik masing-masing selama ini.

Dalam tahun 2008 ini, di sebalik rasa gembira saya kerana kejayaan Pakatan Rakyat menguasai 5 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan, serta menidakkan majoriti 2/3 UMNO di Parlimen, hati saya tiba-tiba diserang keraguan ekoran tuduhan liwat Saiful Bukhari Azlan terhadap Dato' Seri. Namun sekali lagi saya masih rasional, saya percaya bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.

Tetapi Dato' Seri, buat kali pertama dalam hidup saya, saya merasa kecewa yang begitu sempurna terhadap Dato' Seri apabila baru-baru ini Dato' Seri menolak untuk bersumpah dengan nama Allah dalam membela diri di atas tuduhan liwat terhadap Dato' Seri. Dan saya jadi kagum dan hormat terhadap kesungguhan Saiful Bukhari Azlan dalam mempertahankan tuduhannya apabila beliau bersumpah dengan nama Allah dan sanggup pula menghadapi bala sekiranya beliau berdusta. Bukan setakat itu sahaja Dato' Seri, bahkan Saiful Bukhari Azlan merelakan keturunanya juga ditimpa bala sekiranya dia berdusta.

Saya percaya bahawa keberanian itu datangnya dari kebenaran. Tambahan pula, seseorang Islam itu, walaupun ramai diantara jutaan umat Islam yang menjadi pemabuk, penjudi, penzina, pembunuh atau apa sahaja sekalipun, amat pantang bagi pemabuk, penjudi, penzina dan pembunuh itu untuk mempermain-mainkan nama Allah. Dan Dato' Seri juga haruslah bersumpah untuk membela diri walaupun dengan bersumpah sebegitu Dato' Seri tetap akan dibicarakan di mahkamah. Ini kerana bagi saya Dato' Seri, seseorang itu bukan sahaja harus bersih, tetapi juga harus di pandang sebagai bersih.

Akhir kata dari saya Dato' Seri, sekiranya Dato' Seri tidak bersumpah sebelum pilihanraya kecil di Permatang Pauh nanti, saya berharap bahawa Dato' Seri akan mengalami kekalahan yang besar dan karier politik Dato' Seri berakhir buat selama-lamanya. Hal-hal yang lain, termasuklah kesahihan tuduhan liwat tersebut dan hukuman apa yang wajar dijatuhkan sekiranya Dato' Seri didapati bersalah, biarlah mahkamah sahaja yang menguruskannya.

Ini adalah harapan saya terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah saya sanjungi. Saya tiada bukti untuk menyatakan bahawa saya pernah menyanjung Dato' Seri kerana satu-satunya bukti yang saya ada iaitu sehelai t-shirt berwarna hitam dengan gambar mata Dato' Seri yang kelebaman yang sering saya pakai telah saya hadiahkan kepada senior saya di UiTM lama dahulu.

Saya sudahi warkah ini dengan serangkap pantun yang pernah dilafazkan oleh Dato' Seri ketika Perhimpunan Agung Umno dalam tahun 1998 dahulu;


Akar Nibung Meresap
Akar Mati Dalam Perahu
Terbakar Kampung Kelihatan Asap
Terbakar Hati Siapa Yang Tahu