Ketika rakyat negara ini sedang berteka-teki tentang harga beras yang dijangka akan mengalami kenaikan, dan disaat kempen memulaukan produk keluaran Belanda giat dijalankan lewat filem ‘Fitna’, fikiran saya sekali lagi tersorot jauh ke tahun 1998.
Visual sebuah iklan terbitan Petronas pada tahun itu kembali bermain-main difikiran saya, Vanidah Imran dalam iklan itu cukup bergaya memakai ‘Kasut Buatan Gombak’, dan mesej yang cuba disampaikan oleh Pengarahnya cukup jelas – Belilah Barangan Buatan Malaysia!
Saya tidak pasti samada kempen Membeli Barangan Buatan Malaysia pada tahun itu menghasilkan kejayaan ataupun tidak, tapi saya yakin, kempen itu menemui kegagalan.
Dalam terma perakaunan, terdapat satu istilah yang dipanggil ‘goodwill’. Produk-produk yang mempunyai ‘goodwill’ biasanya telah dikenali zaman-berzaman, dan orang akan terus membeli produk-produk ini kerana nama baiknya, tak kira berapa harganya. Dan terbukti, produk-produk ‘goodwill’ ini biasanya dikeluarkan oleh negara asing!
Adakah mungkin produk-produk buatan Malaysia dapat bersaing dengan produk-produk ‘goodwill’ dari negara asing? Adakah mungkin rekod jualan baju sukan berjenama ‘Sidek’ dapat mengatasi rekod jualan baju sukan berjenama ‘Adidas’ dalam pasaran tempatan? Adakah mungkin di Malaysia ini, kasut buatan Gombak akan lebih banyak dipakai berbanding kasut buatan Amerika. Saya yakin tidak!
Oleh itu saya sarankan agar kerajaan tidak terus mengimport produk-produk yang Malaysia mampu hasilkan sebaliknya memberi penekanan kepada peningkatan jumlah produk-produk dari dalam negara. Sebagai contoh, semua cawangan A&W boleh sahaja ditutup di Malaysia dan cawangan-cawangan 1901 pula diperbanyakkan. Pekerja-pekerja dari cawangan A&W yang ditutup boleh saja ditawarkan pekerjaan di cawangan 1901 yang baru dibuka. Ini dapat menyelesaikan masalah penggangguran.
Sistem monopoli seringkali dilihat akan menjejaskan kualiti sesuatu produk. Kita boleh menafikan situasi ini dengan cara menawarkan produk-produk yang sama tetapi dari keluaran syarikat-syarikat yang berlainan didalam pasaran tempatan, asalkan syarikat itu adalah syarikat Malaysia sendiri. Sebagai contoh, Pizza Hutt tidak dibenarkan beroperasi, tetapi Pizza Yah boleh diwujudkan untuk menyaingi Pizza Pah. Inilah yang kita boleh labelkan sebagai ‘Pasaran Bebas Dalam Ekonomi Tertutup!’
Saya tidak menyarankan kerajaan mengamalkan dasar menutup pintu sepenuhnya. Produk-produk yang tidak dapat dihasilkan sendiri oleh Malaysia tidak dapat tidak haruslah diimport juga dari negara luar, demi keselesaan rakyat Malaysia.
Dan kenaikan harga beras pula dapat kita elakkan jika kerajaan menggalakkan pengeluaran beras secara besar-besaran dalam negara sendiri, tetapi beras Malaysia itu mestilah dijual dengan harga yang murah untuk mengelakkan penyeludupan beras dari Thailand. Dan jika Pasaran Bebas Dalam Ekonomi Tertutup ini berjaya dilaksanakan, kita tidak perlu lagi bersusah-payah berkempen untuk memulaukan produk Belanda, kerana produk itu sendiri pun sukar didapati di Malaysia!
Malaysia Untuk Rakyat Malaysia!
Thursday, April 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
http://yusneezamyusop.blogspot.com/
san TQ jenguk2 blocks gua hehehe... :p
Post a Comment